JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) didakwa menggunakan Himpunan Turun Anwar untuk memburukkan dan menanam kebencian terhadap Kerajaan Madani.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bakri, Md Ysahrudin Kusni berkata, pembangkang mengambil kesempatan itu
untuk melakukan tohmahan tidak berasas.
“Himpunan Turun Anwar sarat dengan laungan penindasan dan hentikan kezaliman sedangkan realitinya semua tuduhan itu hanyalah tohmahan fitnah yang tidak berasas.
“Tindakan ini bukan sahaja mencerminkan politik sempit, malah cuba menghasut rakyat dengan naratif yang direka untuk kepentingan politik semata-mata.
“Rakyat harus menolak taktik politik kotor dan penuh fitnah dimainkan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan.
Himpunan itu yang dianjurkan PN bermula sejak pagi tadi, peserta berkumpul di empat lokasi sekitar pusat bandar sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka bagi menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.
Mengulas lanjut, Md Ysahrudin berkata, kerajaan Perpaduan bawah kepimpinan Anwar sentiasa berusaha mendengar suara dan rintihan rakyat.
Sebagai contoh, katanya, pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia Rabu lalu memberi fokus kepada keperluan sebenar rakyat termasuk isu kos sara hidup, pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
Jelasnya, ia membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil langkah proaktif untuk kebajikan negara.
Justeru rakyat harus menolak taktik politik kotor dan penuh fitnah yang dimainkan pihak pembangkang.
“Malaysia memerlukan kesatuan fikiran dan tindakan untuk terus bergerak maju, bukannya perpecahan yang dihasut oleh pihak yang mementingkan agenda peribadi.
“Oleh itu kami menyeru semua pihak untuk bersama-sama membina masa depan negara yang lebih baik dengan sokongan terhadap dasar-dasar yang berpaksikan keadilan sosial, pembangunan inklusif dan integriti,” katanya. – MalaysiaGazette
















