KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki cuba membawa keluar beberapa ekor haiwan eksotik menggunakan penerbangan MH0198 menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ke Hyderabad, India, baru-baru ini.
Cubaan menyeludup keluar beberapa spesies hidupan liar yang dilindungi itu ditumpaskan dalam satu operasi bersama melibatkan anggota AKPS KLIA dan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
“Bertindak atas maklumat yang diterima, dua anggota AKPS KLIA bersama tiga anggota AVSEC telah menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap sebuah bagasi penumpang.
“Pemeriksaan awal melalui mesin pengimbas mendapati terdapat imej mencurigakan menyerupai hidupan liar di dalam bagasi tersebut,” menurut AKPS dalam kenyataan di sini.
Suspek lelaki, berumur 38 tahun dan berasal dari Selangor, telah ditahan untuk siasatan lanjut.
AKPS berkata, hasil pemeriksaan telah menemui masing-masing dua ekor disyaki lotong kelabu, siamang dan armadillo yang dianggarkan bernilai RM73,000.
Kesemua haiwan tersebut disyaki termasuk dalam kategori spesies terancam dan dilindungi di bawah perundangan negara dan antarabangsa.
Kes kini disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
Kesemua haiwan yang dirampas telah diserahkan kepada Pejabat Perhilitan untuk tindakan susulan. – MalaysiaGazette















