KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mempersoalkan kesahihan dakwaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bahawa hampir 20 tan sampah dikutip selepas Himpunan Turun Anwar di ibu negara, Sabtu lalu.
Awang secara lantang menolak dakwaan tersebut sambil menuduh Menteri KPKT, Nga Kor Ming mengeluarkan kenyataan tidak tepat yang menurutnya bercanggah dengan angka rasmi kehadiran yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kalau benar 20 tan sampah, ia bersamaan 20,000 kilogram. Kalau setiap seorang bawa 10 kilogram sampah maknanya 400,000 orang hadir.
“Sedangkan polis kata hanya 18,000 yang hadir. Mana satu kenyataan rasmi ini?” soalnya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Awang turut mendakwa kenyataan sedemikian menjejaskan kredibiliti kerajaan kerana ia bercanggah dengan angka rasmi pihak berkuasa.
Menjawab dakwaan itu, Kor Ming menafikan beliau mereka-reka fakta dan menjelaskan angka hampir 20 tan itu bersumberkan laporan rasmi SWCorp yang dikeluarkan selepas kerja pembersihan dijalankan.
“Ia berdasarkan laporan SWCorp yang saya terima di lapangan sehingga ratusan petugas dikerah untuk kutip sampah selepas himpunan baju hitam,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan tidak menghalang hak berhimpun namun menekankan kepentingan menjaga kebersihan awam.
“Yang saya tegur adalah sikap pengotor. Siapa makan cili, dia rasa pedas. Saya tak pernah kata Yang Berhormat yang buang sampah tetapi sampah memang banyak ditinggalkan selepas perhimpunan,” katanya lagi.
Menurut laporan SWCorp, kira-kira 20 metrik tan sampah ditemui di lokasi tumpuan seperti Dataran Merdeka dan Jalan Tunku Abdul Rahman.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan termasuk Unit Amal Pas yang membantu membersihkan kawasan selepas himpunan itu. – MalaysiaGazette
















