Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 Julai 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik tindakan enam kerajaan negeri yang menghentikan pengeluaran serta pembaharuan lesen penjualan rokok elektronik dan vape di negeri masing-masing.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, tindakan yang diambil Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang itu adalah selaras dengan aspirasi melindungi kesihatan awam.

Ini kerana kuasa perlesenan premis perniagaan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kerajaan negeri.

“Bagaimanapun kawalan yang dilaksanakan pada masa ini hanya melibatkan larangan penjualan produk merokok di premis tertentu seperti kedai khas dan tidak merangkumi kedai runcit atau serbaneka.

“Bagi mencapai kawalan yang lebih menyeluruh khususnya dalam agenda pengharaman sepenuhnya terhadap penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape, ia masih di bawah kuasa kerajaan Persekutuan,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya kini menuju ke arah pengharaman sepenuhnya penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara berhati-hati dengan mengambilkira pelbagai aspek termasuk implikasi undang-undang, penguatkuasaan dan kesihatan awam.

Menurut beliau, satu mesyuarat Jawatankuasa Kepakaran Rokok Elektronik atau Vape telah diadakan pada 22 Julai lalu untuk meneliti strategi pengawalan produk berkenaan termasuk cadangan kajian aspek perundangan, industri, hasil kerajaan serta pelesenan sekiranya pengharaman dilaksanakan.

“Susulan itu, KKM merancang untuk mengadakan perbincangan terperinci bersama empat kementerian dan jabatan utama iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Jabatan Peguam Negara,” jelasnya.

Mengulas mengenai penguatkuasaan, beliau berkata, pihaknya memberi keutamaan kepada pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang melibatkan pendaftaran produk, larangan pengiklanan, promosi dan tajaan, kawalan penjualan serta larangan merokok di kawasan larangan.

“Melalui pendekatan whole of nation, kita akan melaksanakan ‘Operasi Selamat Paru-Paru’ atau Ops Selamat PaPa, yang akan dilancarkan pada 1 Ogos ini. Operasi ini bertujuan memastikan penguatkuasaan Akta 852 dijalankan secara menyeluruh dan berkesan di seluruh negara,” katanya.

Difahamkan, operasi itu akan melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk KPDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan.

Sejak Akta 852 dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024, Dr Dzulkefly berkata, lebih 3,200 jenama produk merokok yang dikesan di pasaran sebelum ini telah berkurangan secara signifikan.

“Setakat ini, hanya 390 jenama dengan kira-kira 2,794 varian sahaja yang telah didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan. Selain itu, sehingga 30 Jun 2025, sebanyak 15,775 operasi telah dijalankan dan 78,424 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 852,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha itu akan terus diperkukuh demi memastikan persekitaran yang lebih selamat dan bebas daripada ancaman produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast