Setiausaha Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, R Hareetaran

KUALA LUMPUR – Setiausaha Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat, R Hareetaran menegaskan percubaan pihak tertentu memperkecilkan Himpunan Turun Anwar sebagai ‘politik murahan’ yang tidak mampu mengekang kebangkitan rakyat.

Beliau berkata, ribuan rakyat yang hadir ke himpunan tersebut membawa mesej jelas bahawa mereka tidak lagi mempercayai retorik kosong kerajaan sedia ada.

“Mainan persepsi dengan mengecilkan angka peserta himpunan kononnya tidak melebihi 20,000 orang adalah taktik lapuk. Soalnya, apakah angka itu lebih penting daripada mesej yang disampaikan oleh rakyat?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hareetaran turut mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan pemberian ‘one-off’ RM100 beberapa hari sebelum himpunan berlangsung, yang menurutnya hanya memperlihatkan usaha terdesak untuk meredakan kemarahan rakyat.

“Kenapa selepas tiga tahun mentadbir baru muncul ‘keprihatinan’? Rakyat melihat ini bukan sebagai bantuan, tetapi sogokan untuk menutup gelombang kemarahan yang makin membara,” dakwanya.

Beliau juga mengkritik tindakan pihak tertentu yang membangkitkan isu sampah selepas himpunan berlangsung sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada mesej sebenar yang dibawa oleh peserta.

“Ini adalah taktik murahan yang sering digunakan alih perhatian, cipta musuh, dan tutup kelemahan sendiri. Ingatlah, rakyat kini semakin celik politik, matang dan berani bersuara, sekali gus tidak mudah diperdaya dengan propaganda.

“Kebangkitan rakyat tidak boleh disekat dengan angka, tidak boleh dibeli dengan RM100, dan tidak akan terpadam dengan isu remeh. Suara rakyat bukan untuk diperlekeh, tetapi untuk didengar dan dihormati,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast