JOHOR BAHRU – Kejayaan Malaysia menjadi orang tengah dalam rundingan sehingga Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata wajar dirai semua pihak.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkembangan itu amat positif kerana ASEAN sudah mampu lagi untuk berdepan satu lagi perang.
“ASEAN cukup tertekan dengan perang tarif era Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Lebih 120 juta rakyat ASEAN masih hidup dalam kemiskinan. Kita tak mampu satu lagi perang.
“Biar berlainan parti, kejayaan Malaysia wajib kita akui,” tulisnya dalam satu hantaran menerusi akaun media sosial X miliknya hari ini.
Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuatkuasa serta merta mulai pukul 12 tengah malam waktu tempatan (24.00) hari ini.
Menurut kenyataan bersama Malaysia, Thailand dan Kemboja, ini merupakan langkah penting untuk mengurangkan ketegangan dan mengembalikan kemanan dan keselamatan kedua-dua belah pilhak.
Selain itu, katanya, mesyuarat tidak rasmi pemerintah tentera serantau antara Thailand dan Kemboja akan dilakukan pada pukul 7 pagi esok diikuti mesyuarat attache pertahanan yang diketuai Pengerusi ASEAN, sekiranya kedua-dua pihak bersetuju.
Ini diikuti Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am diadakan pada 4 Ogos ini dengan Kemboja sebagai tuan rumah.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia sedia untuk menyelaras sebuah pasukan pemerhati untuk mengesah dan memastikan pelaksanaannya,” katanya.- MalaysiaGazette
















