Abshar.

BUKIT MERTAJAM –  Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bukit Mertajam menegaskan Perikatan Nasional (PN) perlu memainkan peranan sebagai pembangkang yang lebih konstruktif dan bertanggungjawab, bukannya terus mengulangi retorik politik dengan membakar emosi rakyat.

Ketua AMK Bukit Mertajam, Abshar Nurasyraf berkata, himpunan “Turun Anwar” yang dianjurkan pada 26 Julai lalu dilihat gagal mencapai matlamat sebenar kerana hanya dihadiri penyokong tegar Pas dan Bersatu tanpa menarik minat pengundi atas pagar atau bukan partisan.

Jelasnya, PN turut dilihat tidak menunjukkan hala tuju jelas sebagai pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 malah berdepan isu kepimpinan dalaman khususnya dalam Bersatu.

“Parti itu dilihat semakin goyah di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala pengganti yang disebut-sebut seperti Datuk Seri Hamzah Zainudin pula dikatakan kurang berkarisma untuk mengetuai blok pembangkang secara berkesan.

“Pas pula masih terikat dengan gaya politik konservatif era 1980-an dan gagal membuka ruang kepada pemimpin sederhana seperti Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abshar, PN masih berpeluang menjadi pembangkang yang efektif dengan memainkan peranan semak dan imbang serta membawa cadangan dasar yang munasabah.

“Namun jika mereka (pembangkang) terus memilih jalan politik perkauman dan kemarahan, mereka hanya akan kekal bergantung kepada penyokong sedia ada dan gagal menarik sokongan lebih luas.

“Kita lihat bagaimana blok pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mampu mengambil pendekatan rasional dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan ketika ditadbir Datuk Seri Ismail Sabri demi kestabilan negara.

“Justeru demokrasi hanya akan subur dengan pembangkang yang matang, berprinsip dan berwibawa bukan yang hanya menentang tanpa gagasan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast