KLUANG – Seorang lelaki warga emas maut manakala seorang pembantu tadbir yang sedang hamil cedera dalam kemalangan di Kilometer 56, Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 7 pagi melibatkan motosikal jenis SYM BX110 ditunggang mangsa dan kereta Perodua Axia dipantu wanita berkenaan.
“Hasil siasatan awal didapati kejadian berlaku semasa kereta wanita itu dari arah Mersing menghala ke Kluang manakala motosikal warga emas itu datang dari arah simpang sebelah kiri Jalan Kasuari.
“Penunggang warga emas tersebut, Ong Ho Kean yang berusia 69 tahun telah cuba melintas jalan untuk menghala ke arah Mersing,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, semasa kereta tersebut sampai di tempat kejadian untuk jalan terus tidak sempat mengelak dan telah melanggar motosikal mangsa yang tiba-tiba masuk ke laluan wanita berkenaan.
Menurutnya, warga emas tersebut cedera parah di kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
Wanita berkenaan pula katanya, mengalami sakit di bahagian badan, tengkuk dan dalam perut kerana mengandung.
Jelasnya, wanita berkenaan dirawat di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini dan akan dihantar untuk proses imbasan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette
















