Enam nelayan Indonesia termasuk tekong ditahan ceroboh perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN –  Enam nelayan warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas didapati menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Kendi di sini semalam.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, kesemua lelaki berusia antara 19 hingga 52 tahun itu ditahan pukul 11.50 pagi ketika berada di atas sebuah vesel nelayan asing kira-kira 40 batu nautika dari barat laut pulau berkenaan.

Penahanan dibuat selepas bot penguat kuasa mengesan kehadiran vesel mencurigakan di kawasan tersebut sebelum menghampirinya untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran sah dan dikendalikan oleh enam kru warga Indonesia termasuk seorang tekong.

“Mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai memasuki perairan Malaysia secara haram.

“Bot bersama kru terbabit kemudiannya ditunda ke Jeti Maritim Batu Maung untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa dokumen sah serta Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan tanpa permit sah daripada Ketua Pengarah Perikanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast