Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan segera menaikkan cukai ke atas cecair vape bernikotin supaya selari dengan kadar cukai rokok.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memperkukuh usaha pencegahan dan pengawalan, sementara menunggu usaha pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan vape oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelasnya, ketika ini, cecair nikotin hanya dikenakan cukai sebanyak 40 sen bagi setiap mililiter, sedangkan rokok dikenakan cukai sebanyak RM8 bagi setiap kotak.

Wan Saiful Wan Jan

Ujar beliau, berdasarkan perkiraan mudah, penggunaan dua mililiter cecair vape bernikotin mengandungi hampir sama jumlah nikotin dengan sekotak rokok, namun, cukai yang dikenakan ke atas vape hanyalah sekitar 10 peratus daripada cukai rokok, iaitu satu jurang yang ketara.

“Perbezaan harga yang begitu besar menyebabkan ramai pengguna memilih vape kerana lebih murah dan lebih mampu milik.

“Jika kerajaan benar-benar serius mahu membendung penggunaan vape, menaikkan cukai adalah langkah segera yang mudah dilaksanakan — dengan syarat adanya kemahuan politik (political will),” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Selain itu, tambah Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, kerajaan juga perlu memperkenalkan harga minimum bagi produk vape seperti yang telah dilaksanakan ke atas rokok, sekurang-kurangnya pada paras RM12.

Tambahnya, keseluruhan struktur harga itu perlu dipautkan kepada kadar kenaikan duti eksais dari semasa ke semasa.

Katanya, ia penting bagi memastikan kesaksamaan cukai (tax parity) dan tahap kemampuan harga (affordability) yang sesuai dengan niat untuk mengurangkan atau mencegah penggunaannya.

Tambah Wan Saiful, beliau memahami KKM sedang meneliti cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan vape.

Namun, ujarnya, beliau tidak bersetuju sekiranya kerajaan hanya berdiam diri dan menunggu sehingga proses itu dimuktamadkan.

Apatah lagi, katanya, dalam mempertimbang pengharaman vape, kerajaan perlu mengambil kira bahawa larangan total sering membawa kepada kewujudan pasaran gelap yang sukar dikawal jika tiada penguatkuasaan yang benar-benar berkesan.

“Sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas. Tidak perlu tunggu pengharaman. Sebaliknya saksamakan cukai dan memperkenalkan harga minimum adalah langkah yang boleh diambil serta merta.

“Ini langkah realistik, segera, dan paling berkesan untuk melindungi kesihatan awam – terutamanya generasi muda kita,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast