KUALA LUMPUR – Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) Malaysia mencatatkan nilai RM352.3 bilion pada harga malar bagi tahun 2024 berbanding RM314.5 bilion pada tahun 2023.

Aliran masuk pelaburan asing (FDI) yang kukuh serta pertumbuhan pelaburan domestik yang berterusan telah menyumbang kepada Pembentukan Modal Tetap Kasar bagi tahun 2024.

PMTK kekal sebagai komponen kedua terbesar kepada KDNK merangkumi 21.3 peratus daripada keseluruhan ekonomi.

Jabatan Perangkaan berkata, PMTK mencatatkan pertumbuhan dua digit 12.0 peratus pada tahun 2024 berbanding 5.4 peratus pada tahun 2023.

Kesemua sektor menunjukkan pembentukan modal lebih kukuh pada tahun 2024, terutamanya bagi sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Melihat kepada pembentukan modal mengikut jenis aset, Struktur kekal sebagai komponen terbesar yang menyumbang 51.5 peratus (2023: 50.1%) daripada keseluruhan PMTK, melonjak 15.3 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.

PMTK mengikut sektor, sektor Swasta terus menjadi peneraju utama dengan sumbangan sebanyak 77.4 peratus, berkembang 12.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, pertumbuhan pelaburan sektor Awam juga menunjukkan trend peningkatan yang sama, merekodkan pertumbuhan 11.1 peratus berbanding 8.5 peratus pada tahun 2023 (sumbangan: 22.6%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast