MUAR – Seorang pekerja kilang perabot rugi RM488,740 akibat tertarik dengan pelaburan saham yang menawarkan
keuntungan sehingga 500 peratus dalam masa enam bulan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan membuat laporan polis, di sini, semalam mendakwa diperdaya.
“Sebelum itu mangsa menyatakan telah menekan satu pautan dalam media sosial sebelum dihubungi seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi Whatsapp.
“Seterusnya, mangsa diarahkan untuk memuat turun aplikasi ‘PHG PLUS’ bagi tujuan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa dijanjikan pulangan yang lumayan iaitu 50 peratus dalam masa seminggu dan sehingga 500 peratus dalam masa enam bulan.
Susulan itu katanya, mangsa membuat sebanyak 39 transaksi ke enam akaun bank berbeza yang berjumlah RM488,740 dari
21 Mei hingga 21 Julai lalu.
“Namun, apabila cuba membuat pengeluaran wang yang kononnya telah mencecah lebih RM6 juta dalam aplikasi tersebut, mangsa telah diminta untuk membuat bayaran tambahan,” katanya.
Raiz Mukhliz berkata, mangsa diarahkan membayar RM600,000 kononnya untuk bayaran cukai pendapatan.
Tambahnya, mangsa yang menggunakan semua wang simpanan untuk melabur kemudiannya menyedari dirinya ditipu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga denda.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.
Orang ramai juga perlu sentiasa mengikuti nasihat polis dalam Facebook, Instagram, TikTok, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bagi mendapat maklumat modus operandi scammer.- MalaysiaGazette















