KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mencemarkan nama Islam dalam Pas susulan kontroversi satira figura haiwan yang dikaitkan dengan usaha damai Malaysia dalam perang antara Thailand dan Kemboja.
Sedangkan menurut beliau, mendamaikan pihak bertelingkah apatah lagi yang sedang berperang amat dituntut oleh Islam memandangkan peperangan membawa musibah apabila ramai akan terkorban.
Sehubungan itu, ujarnya, adalah sesuatu yang amat malang apabila Ahli Parlimen daripada parti `bertopengkan’ Islam meremehkan usaha perdamaian tersebut.
Tambah beliau, nama Islam tercemar oleh parti yang menjaja nama Islam, namun untuk mengharamkan parti politik yang menggunakan perkataan `Islam’ sudah tentu akan dibantah.
Malah, ujarnya, sebarang usaha mengharamkan parti dengan nama Islam juga akan menyebabkan kerajaan akan dituduh anti-Islam.
“Ada baiknya Pas ganti perkataan Islam dalam huruf “alif” (Pas).
“Mungkin Pas boleh tukar huruf “alif” itu kepada Parti Islah SeMalaysia, Parti Insaf SeMalaysia atau Parti Inqilabiyah SeMalaysia. Yang penting ada bunyi “arab”.
“Arabic ada konotasi Islam. Seperti Parti Amanah Negara (parti serpihan Pas),” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli dikecam banyak pihak susulan memuat naik hantaran dan gambar satira menampilkan figura hakim berupa monyet di hadapan biri-biri dan kambing yang berebutkan pisang dipercayai merujuk usaha Malaysia merintis jalan damai dalam perang antara Thailand dan Kemboja.
Bagaimanapun hantaran itu telah diturunkan Ahmad Fadhli di laman sosial Facebook beliau, namun sehingga kini tiada permohonan maaf dibuat seperti didesak banyak pihak. – MalaysiaGazette
















