KUALA LUMPUR – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi mengecam tindakan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang enggan memohon maaf berhubung kenyataannya yang menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dua pemimpin Thailand dan Kemboja.
Nabil menyifatkan keengganan Ahmad Fadhli memohon maaf sebagai bukti keangkuhan dan sikap tidak beradab seorang pemimpin politik, sekali gus mencemarkan imej negara di mata dunia.
“Tindakan beliau tidak hanya menghina Perdana Menteri, tetapi juga menghina Malaysia, termasuk seluruh warga kerja Wisma Putra yang bertungkus-lumus menjayakan rundingan damai tersebut.
“Ahmad Fadhli perlu sedar bahawa usaha Perdana Menteri mewakili Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, dan sebarang penghinaan terhadap inisiatif ini adalah bentuk pengkhianatan terhadap negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nabil, kenyataan Ahmad Fadhli jelas menunjukkan kegagalan memahami kepentingan diplomasi antarabangsa, lebih-lebih lagi ketika Malaysia memainkan peranan besar sebagai fasilitator rundingan damai bagi meredakan konflik antara Thailand dan Kemboja.
“Dalam situasi ini, kita sepatutnya bersatu mempertahankan maruah negara, bukannya menjatuhkan usaha diplomasi yang memberi manfaat kepada kestabilan rantau. Ahmad Fadhli seolah-olah sengaja meletakkan kepentingan politik sempit mengatasi imej Malaysia di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil perhatian terhadap kenyataan tersebut kerana ia bukan sahaja menyentuh sensitiviti diplomatik malah boleh menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan negara jiran.
Dalam masa sama, Nabil berterima kasih kepada beberapa pemimpin pembangkang yang menunjukkan kematangan politik, termasuk Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal yang menyokong usaha Anwar dalam rundingan tersebut walaupun berbeza pandangan mengenai isu pentadbiran dan ekonomi.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik agar bersatu menolak tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini. Ahmad Fadhli perlu segera memohon maaf kepada Malaysia, Thailand dan Kemboja.
“Rakyat tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana individu yang sanggup menjatuhkan maruah negara di persada antarabangsa,” tegasnya.
Semalam Ahmad Fadhli memuat naik karikatur menggambarkan seekor kambing dan biri-biri berebut pisang, diperhatikan oleh seekor monyet di tengah seolah-olah menjadi orang tengah dipercayai sindiran terhadap Perdana Menteri yang berjaya memediasi persetujuan gencatan senjata antara dua negara itu.
Bagaimanapun karikatur itu telah dipadamkan selepas beberapa jam. -MalaysiaGazette
Fadhli, henti jadi badut politik, mohon maaf segera – Saifuddin















