Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Tindakan membesar-besarkan isu seperti jumlah sampah yang dikutip pada Himpunan Turun Anwar mungkin kelihatan remeh tetapi boleh dilihat sebagai memperlekeh keresahan rakyat.

Malah, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad, tindakan itu juga memberi mesej perkauman secara tersirat, walaupun ia bukan niat sebenar isu tersebut dibangkitkan.

“Isu ini akan memberi ruang simpati kepada penganjur, dan mengalihkan fokus keterbukaan Kerajaan dan kelemahan hujah pembangkang.

“Kita harus berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap himpunan ini,” katanya menerusi laman media sosial X beliau hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mengutip 20 tan sampah selepas penganjuran Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar ibu negara, Sabtu lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kerja-kerja pembersihan dilakukan sehingga pukul 3.30 pagi selepas peganjuran demonstrasi itu bagi memastikan kawasan terjejas kembali bersih.

Bagaimanapun, angka 20 tan sampah itu dipertikai banyak pihak selepas tular gambar sukarelawan penganjur himpunan tersebut yang sedang membersihkan lokasi himpunan, selain disifatkan tidak logik berdasarkan jumlah kehadiran peserta.

Sementara itu, Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, kritikan rakyat walaupun disampaikan dalam bentuk demonstrasi tidak harus disambut dengan reaksi defensif semata-mata.

Sebaliknya, tambah beliau, ia harus menjadi pencetus untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu asas rakyat iaitu kos sara hidup, keadilan sosial dan masa hadapan ekonomi negara.

“Isu-isu dasar inilah yang kemudian akan diolah dan dibakar dengan sentimen kaum dan agama agar lebih tular bagi meraih undi, walaupun menyebabkan rakyat papa kedana,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/07/27/himpunan-turun-anwar-pekerja-pembersihan-kutip-20-tan-sampah-sampai-larut-malam/

Sementara itu, tambah Nik Nazmi, walaupun terdapat perbezaan pandangan politik dan beliau sendiri tidak menyokong mesej himpunan tersebut, namun hak rakyat untuk berhimpun secara aman merupakan tiang penting dalam sistem demokrasi.

Sehubungan itu, ujarnya, sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terbuka terhadap demonstrasi tersebut harus dihargai.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang memimpin bacaan Qunut Nazilah untuk menggambarkan seolah-olah kerajaan hari ini memusuhi Islam.

Sedangkan, tegas beliau, perbezaan politik tidak wajar disalut dengan retorik kebencian agama.

“Kita tidak lupa bahawa Pas pernah suatu ketika dulu mendoakan kehancuran lawan politik mereka, termasuk Dr Mahathir, yang kini berdiri bersama mereka.

“Sebelum ini ketika bersama bukan sahaja KEADILAN malah DAP yang kini dilabel musuh umat Islam, pelbagai dalil diberi untuk menyokong keputusan politik mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast