KUALA LUMPUR – Parti Amanah Nasional (Amanah) mempersoalkan sikap berdiam diri Pas berhubung tindakan Ketua Penerangan parti itu, Ahmad Fadhli Shaari bersabit kontroversi satira politik figura haiwan yang mencetuskan kemarahan banyak pihak.
Ahli Jawatankuasa Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah Nasional, Mohd Fitri Asmuni tindakan itu memperlihatkan seolah-olah pemimpin Pas lain merestui dan menyokong tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas berkeaan.
Malah, ujar beliau, Ahmad Fadhli sehingga kini juga langsung tidak menunjukkan rasa kesal atau memohon maaf atas tindakan beliau itu meskipun dikecam pelbagai lapisan masyarakat.
Sedangkan, dakwanya, tindakan Ahmad Fadhli menyamakan konflik serius antara dua negara jiran dengan perebutan pisang oleh kambing dan biri-biri adalah jelas satu bentuk provokasi dan penghinaan terbuka yang tidak beradab, tidak sensitif dan memalukan imej Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan negara pendamai.
“Diamnya PAS memberi gambaran bahawa parti itu merestui dan menyokong kelakuan tidak bertanggungjawab Fadhli Shaari.
“Oleh itu, rakyat berhak menuntut jawapan dan pendirian yang jelas daripada PAS,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli dikecam banyak pihak susulan memuat naik hantaran dan gambar satira menampilkan figura hakim berupa monyet di hadapan biri-biri dan kambing yang berebutkan pisang dipercayai merujuk usaha Malaysia merintis jalan damai dalam perang antara Thailand dan Kemboja.
Bagaimanapun hantaran itu telah diturunkan Ahmad Fadhli di laman sosial Facebook beliau, namun sehingga kini tiada permohonan maaf dibuat seperti didesak banyak pihak.
Sementara itu, Mohd Fitri berkata, sekiranya Pas benar-benar tidak bersetuju dengan perbuatan Ahmad Fadhli tersebut, pemimpin parti berkenaan perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kedua-dua negara tersebut sebagai mewakili seluruh rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, ujarnya, Pas juga perlu mengambil tindakan tegas dengan memecat Ahmad Fadhli daripada jawatannya.
“Jika tidak, maka PAS sebenarnya sedang merestui dan melindungi seorang pemimpin politik yan tidak berakhlak dan tiada moral, melebihi hubungan baik yang sepatutnya dibina antara PAS dengan negara serantau terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette
















