Gambar hiasan

BARU-baru ini kita dikejutkan dengan kehadiran Kecerdasan Buatan (AI) dalam pelbagai sektor yang mendatangkan pelbagai persoalan di khalayak ramai. Kemunculan AI tidak terkecuali kepada sektor Pendidikan. Namun, yang mencetuskan pelbagai soalan adalah penyebaran AI di peringkat sekolah rendah. Ada yang melihat AI sebagai “guru tambahan” yang mampu mempercepat pembelajaran, sementara ada pula yang bimbang teknologi ini akan menggantikan proses asas seperti membaca, menulis, dan mengira (3M).

Persoalannya, adakah anak-anak kita benar-benar bersedia menerima gelombang teknologi ini, atau AI hanya akan menjadikan mereka terlalu bergantung pada jawapan segera tanpa berusaha dan melalui nilai asas? Pada pandangan Islam, teknologi adalah amanah yang perlu diguna dengan adab, ilmu, dan hikmah. AI dapat meringankan bebanan guru seharian. AI dapat menguruskan kerja rutin seperti semakan kuiz, penyediaan laporan pencapaian murid, membantu membuat soalan serta
membantu dalam pembelajaran dan pengajaran pelajar.

Kalau dahulu, guru hanya berharap pada papan puteh untuk mengajar, kini banyak interaksi seperti video, poster dan pelbagai medium AI yang dapat divisualkan dalam membantu pelajaran pelajar. Suasana di kelas juga menjadi semakin menarik serta berinovasi. Guru dapat memberi lebih tumpuan kepada aspek
pembangunan sahsiah, motivasi, dan kreativiti pelajar.

Bagi murid berkeperluan khas, AI menawarkan pelbagai aplikasi sokongan seperti speech-to-text untuk membantu disleksia atau pembaca suara untuk pelajar bermasalah penglihatan. Negara seperti Korea Selatan dan Finland berjaya memanfaatkan AI untuk meningkatkan kecekapan pembelajaran tanpa
mengabaikan aspek interaksi sosial dan aktiviti fizikal. AI juga membolehkan pelajar yang lemah menguasai kemahiran pada kadar yang sesuai tanpa merasa tertinggal dengan pelbagai Teknik AI yang dapat mengesan kelemahan pelajar.

Walaupun AI memberi pelbagai kelebihan, terdapat kebimbangan besar apabila ia digunakan sebelum murid menguasai asas 3M. Pendidikan rendah adalah fasa penting untuk mengukuhkan kemahiran manual seperti menulis, membaca, dan mengira. Jika AI digunakan tanpa kawalan, murid mungkin menjadi terlalu bergantung pada teknologi, tidak memahami proses pembelajaran, dan kurang berusaha.

Islam menegaskan kepentingan usaha dalam mencapai kejayaan:“Dan bahawa tidak ada bagi manusia itu kecuali apa yang telah diusahakannya” (Surah An-Najm, 53:39) Ketagihan skrin pula boleh mengurangkan aktiviti fizikal dan interaksi sosial, manakala jawapan segera dari AI berisiko melemahkan pemikiran kritikal dan daya kreativiti murid. Selain itu, isu privasi data menjadi kebimbangan utama kerana banyak aplikasi AI mengumpul maklumat sensitif pelajar.

China memperkenalkan “AI Homework Checker” untuk menilai tugasan pelajar dengan cepat, tetapi mereka juga menetapkan had masa penggunaan gajet bagi kanak-kanak untuk mengawal ketagihan. Finland pula menekankan pembelajaran asas dan buku fizikal sebelum memperkenalkan AI secara berperingkat. bPendekatan Malaysia perlu mengutamakan penguasaan asas 3M sebelum memperkenalkan AI sebagai alat sokongan. Jika 3M masih belum dikuasai, AI hanya akan menjadi short-cut yang merugikan perkembangan kognitif murid.

Islam memandang teknologi sebagai alat yang harus dimanfaatkan dengan niat yang baik, kesederhanaan, dan amanah. Prinsip ini sangat penting apabila kita memperkenalkan AI kepada anak-anak. Tanamkan niat yang baik iaitu AI mesti digunakan untuk memudahkan pembelajaran, bukan untuk mengelakkan usaha. Sifat kesederhanaan (wasatiyyah) perlu diterapkan supaya waktu penggunaan AI perlu seimbang dengan pembelajaran manual. Adab dan akhlak sebagai pelajar dalam menggunakan AI juga perlu ditekankan dan guru dan ibu bapa mesti memantau kandungan dan penggunaan AI. Etika, amanah serta privasi peribadi murid wajib dijaga dengan penuh tanggungjawab.

AI dalam pendidikan sekolah rendah perlu diperkenalkan secara bijaksana, ia boleh memperkukuh pembelajaran tetapi tidak boleh menggantikan asas 3M yang membentuk daya fikir dan disiplin murid. Integrasi AI mesti dilakukan secara berperingkat, dengan pengawasan guru dan ibu bapa supaya murid-murid dapat menggunakannya untuk kebaikan tanpa mengabaikan asas utama membaca, mengira dan menulis bagi pelajar sekolah rendah Firman Allah SWT: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia” (Surah al-Qasas 28:77).

Ayat ini menjadi panduan agar kita memanfaatkan AI dengan seimbang, bijak, dan berpandukan iman, demi melahirkan generasi yang bukan hanya celik teknologi, tetapi juga kukuh jati diri. Kajian yang menyeluruh perlu dibuat sebelum penggunaan AI digunakan sekolah rendah. Aspek 3M, serta etika perlu diterapkan kepada pelajar ini supaya ia tidak melanggar tujuan utama dalam pendidikan.

Prof. Madya Dr. Aspalilah Alias
Pensyarah
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast