Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat minyak dan gas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan mohon dibicarakan atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dengan melibatkan pembayaran melebihi RM786,000.

Tertuduh, Farah Sabryna Nasarudin didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengarah Urusan Asiapac Oil & Gas Sdn. Bhd. untuk melantik suaminya, Daniel Frederick Wall sebagai Penasihat Teknikal tanpa kelulusan atau ratifikasi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat.

Selain itu, tertuduh juga didakwa telah mengarahkan sejumlah RM786,209.30 dimasukkan ke akaun bank miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 27 Januari 2021 hingga 28 Julai 2023 ketika syarikat beroperasi di Kuala Lumpur Sentral.

Pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 218(1)(d) Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff memohon jaminan sebanyak RM30,000 selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Namun, peguam bela A Narainasami merayu jumlah itu diringankan kerana anak guamnya menanggung lima anak yang masih bersekolah serta menjaga ibu yang uzur.

Beliau turut membantah cadangan penyerahan pasport dengan alasan tertuduh sering ke Australia, negara asal suaminya dan tidak berisiko melarikan diri.

Hakim Mahkamah Sesyen, Hamidah Mohamed Deril membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin tanpa syarat penyerahan pasport.

Sebutan semula kes ditetapkan 3 September ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast