KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi sepenuh tumpuan kepada pendidikan prasekolah hingga menengah bagi memastikan sistem pendidikan serta kawal selia yang lebih berfokus dan berkesan.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-13, KPM menerima sebanyak RM67 bilion diperuntukkan untuk sektor pendidikan, termasuk bagi pembinaan sekolah baharu serta memperbaiki dan menaik taraf infrastruktur institusi pendidikan di seluruh negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif pembinaan sekolah yang dijadikan sebahagian syarat bagi projek perumahan berskala besar baharu serta peluasan pembinaan sekolah vertikal akan dilaksanakan bagi menangani isu sekolah padat dan kekurangan tapak sekolah yang sesuai terutamanya di Kawasan berkepadatan tinggi.
Menurutnya, tumpuan Kerajaan Madani pada ketika ini adalah untuk memastikan kadar enrolmen murid pada peringkat prasekolah dan menengah mencapai enrolmen sejagat. RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 bertujuan mewajibkan pendidikan menengah telah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Tumpuan seterusnya adalah untuk mewajibkan pendidikan peringkat prasekolah.
“Langkah untuk mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun bertujuan menyediakan pengalaman pembelajaran asas yang holistik dan menyeluruh kepada kanak-kanak.
“Bagi memastikan usaha ini berjaya, lebih banyak kemudahan prasekolah bawah KPM akan dibuka di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini yang turut menzahirkan menzahirkan setinggi-tinggi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi tumpuan kepada agenda reformasi pendidikan yang menyeluruh berpandukan kepada kerangka Malaysia Madani.
Tambah beliau, penekanan khusus diberi kepada usaha bersepadu bagi memperkasa penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta literasi digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
Jelasnya, guru adalah asas penting kejayaan agenda reformasi pendidikan negara justeru, Kerajaan Madani akan memberi fokus kepada aspek tambah baik pengambilan guru baharu, program latihan persediaan serta peningkatan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan.
“RMK13 adalah manifestasi iltizam dan ikhtiar Kerajaan Madani untuk mereformasikan pendidikan negara menerusi pendekatan baharu yang radikal demi manfaat anak-anak Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















