PERAI – Sebanyak 500 liter bahan kimia jenis ammonia tumpah akibat kebocoran di sebuah premis perindustrian di Taman Pelangi, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.59 pagi.
“Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan BBP Sungai Bakap digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira 11 minit kemudian
“Hasil siasatan mendapati pihak syarikat telah mengambil tindakan awal dengan meneutralkan kebocoran sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) turut digerakkan ke lokasi bagi kerja-kerja pemantauan dan nyahcemar.
“Bacaan awal menunjukkan pH 4, susulan itu kami mengarahkan pihak syarikat membina sekatan bagi mengelakkan pengaliran bahan kimia berkenaan.
“Kerja-kerja nyahcemar dijalankan menggunakan serbuk ‘soda ash’ sebelum bacaan pH diambil semula bagi memastikan kawasan benar-benar selamat.
“Operasi tamat pada jam 1.25 tengah hari dan membabitkan 19 anggota termasuk pegawai penyelia serta empat jentera,” katanya. – MalayasiaGazette















