KOTA KINABALU – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memperkenalkan produk dan wajah baharu bagi salah satu produk utamanya, Baja Super Peladang, yang kini tampil dengan rekaan lebih segar, moden dan profesional.
Menurut NAFAS, Baja Peladang yang hanya ditawarkan dalam bentuk baja sebatian (compound), kini selari dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat, NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB) mengambil inisiatif memperkenalkan varian baharu dalam bentuk baja kompak (compacted).
Tambahnya, teknologi pembuatan baja kompak ini lebih ringkas dan efisien, namun tetap mengekalkan kandungan nutrien serta tahap keberkesanan yang tinggi.
“Pada masa yang sama, ia membolehkan harga ditawarkan secara lebih kompetitif di pasaran,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena majlis Pelancaran Baja Super Peladang diSabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pentadbir Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Mohd Faizal Mohd Jakir; Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin; dan Ketua Pegawai Eksekutif NAFAS Bajakimia Sdn Bhd., Encik Zalifudin bin Md Arshad.

Menurut NAFAS, wajah baharu Baja Super Peladang yang merupakan keluaran NBKSB yang merupakan subsidiari NAFAS, menampilkan rekaan grafik yang lebih kemas dan mudah dikenali, dengan susun atur maklumat yang lebih jelas bagi memudahkan pengguna memahami fungsi serta kandungan baja.
Pembungkusan juga direka lebih tahan lasak, sesuai untuk pengendalian di ladang dan gudang, ujarnya.
Sementara itu, NAFAS berkata, antara yang diketengahkan ialah Super Ultra K, iaitu baja kompak premium berasaskan MAP (Mono Ammonium Phosphate) yang dirumus khas bagi meningkatkan kadar penyerapan nutrien oleh tanaman.
Selain itu, dua lagi varian baharu turut diperkenalan iaitu Super 45D dan Super 16, yang menggunakan asas SOP (Sulphate of Potash), sesuai untuk kegunaan tanaman yang memerlukan kawalan terhadap kandungan klorin dalam pembajaan.
Katanya, ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh jenama Baja Super Peladang sebagai produk tempatan berkualiti tinggi yang diyakini para
petani di seluruh negara.
“Penampilan terbaharu ini juga mencerminkan komitmen NAFAS dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat dan
profesionalisme produk selari dengan standard industri pertanian semasa.
Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, NAFAS selaku antara penaja utama HPPNK 2025 edisi ke-50 ini, terus memperkukuh peranannya dalam menyokong pembangunan sektor agromakanan negara, terutamanya di Sabah.
Katanya, penglibatan kali ini menampilkan pendekatan menyeluruh yang merangkumi elemen generasi muda, pembangunan industri serta pengukuhan jaringan kerjasama strategik.
Untuk maklumat lanjut mengenai penglibatan NAFAS di HPPNK 2025, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi NAFAS di Facebook, Instagram, X, Threads, dan TikTok – @nafashq. – MalaysiaGazette















