Malaysia Auto Fest 2025

KUALA LUMPUR – Festival permotoran paling berprestij negara, Malaysia Auto Fest 2025, kembali untuk edisi ketiga dengan skala lebih besar dan penuh warna, menghimpunkan lebih 400 buah kereta ikonik dan mewah di Lanai Matic, Jalan Ampang.

Acara yang dijadualkan berlangsung hari ini dan 3 Ogos 2025 bakal menjadi tumpuan utama peminat dunia automotif tempatan dan antarabangsa.

Masuk adalah percuma dan terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat.

Dengan tema Car Lifestyle & Show Stopper, festival itu mengetengahkan budaya pemotoran moden yang merangkumi gaya hidup, inovasi dan kreativiti dalam dunia automotif.

Menurut Pengarah Program, Firhat Yasir Omar, penganjurannya bertujuan menyatukan komuniti peminat kereta dalam suasana harmoni dan positif sambil menyemai nilai perpaduan terutama dalam kalangan generasi muda.

Firhat Yasir Omar (gambar kecil).

Pameran tahun ini menampilkan pelbagai model berprestij daripada jenama ternama seperti Ford Mustang, Nissan GTR, Toyota Supra, Mazda RX-7 & RX-8, serta Chevrolet Camaro.

Turut dipamerkan adalah jentera elektrik dan teknologi tinggi seperti Tesla Model S & Model X bersama model berprestasi tinggi dari BMW M-Series & i-Series, Audi RS & R8, dan Mini Cooper JCW.

Model popular lain yang dijangka mencuri perhatian termasuk Honda Civic Type-R, Alphard VIP, Mitsubishi Evolution, Toyota Hiace Custom, dan pastinya model impian ramai seperti Lamborghini Huracán dan Aventador.

Menambahkan lagi prestij acara, penyertaan delegasi antarabangsa dari Thailand dan Singapura bakal mempamerkan jentera modifikasi ekstrem dan koleksi eksotik yang jarang dilihat di Malaysia.

Penganjur menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sepanjang dua hari berlangsung, menjadikannya platform strategik buat penggiat industri automotif mengetengahkan produk, jenama dan servis mereka kepada umum.

Festival itu dianjurkan oleh Persatuan Autoshow Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan dan Tourism Malaysia.

Selain pameran kereta, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti hiburan, interaktif dan gaya hidup yang disediakan untuk seisi keluarga menjadikan acara ini sebagai destinasi hujung minggu yang ideal.

Malaysia Auto Fest 2025 bukan sekadar pameran kenderaan, tetapi satu perayaan budaya automotif yang menggabungkan inovasi, komuniti dan gaya hidup moden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast