KUALA LUMPUR – Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyeru Malaysia kekal teguh dengan pendirian menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan diiktiraf sepenuhnya di peringkat antarabangsa, selaras dengan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 242 (1967).
Pengerusinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya percaya penyelesaian sebenar kepada krisis itu hanya dapat dicapai sekiranya ‘Israel mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa dan menghentikan pendudukan haram di wilayah Palestin.’
Menurutnya, pelaksanaan penyelesaian dua negara (2SS) telah berkali-kali gagal sebelum ini bukan kerana penolakan dari rakyat Palestin, tetapi kerana keengganan Israel untuk tunduk kepada resolusi PBB dan prinsip asas keadilan antarabangsa.
“Maka, meletakkan syarat berat sebelah terhadap Hamas tanpa mengikat Israel kepada sebarang komitmen undang-undang adalah tindakan yang tidak seimbang dan tidak adil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 30 Julai lalu, Perancis dan Arab Saudi sekali lagi membawa ‘Deklarasi New York’ ke PBB dengan mengetengahkan cadangan pelaksanaan 2SS sebagai jalan penyelesaian konflik Israel-Palestin.
Deklarasi itu turut memasukkan syarat utama yang menetapkan supaya “Hamas meletak senjata dan menyerahkan kuasa pentadbiran Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin”.
Sementara itu, Maszlee menambah, Biro Antarabangsa PKR juga menyeru sebarang peralihan kuasa atau pentadbiran di Gaza perlu dilaksanakan melalui ‘proses pilihan raya yang bebas dan adil di bawah pengawasan antarabangsa, bukan ditentukan oleh kuasa luar.’
Ujarnya, prinsip kedaulatan dan hak self-determination adalah hak mutlak rakyat Palestin, bukan negara lain.
Sehubungan itu, tambahnya, sebarang pendirian rasmi Malaysia terhadap Deklarasi New York harus mengambil kira komitmen negara ini terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia serta keseimbangan antara keperluan diplomasi global dan sentimen rakyat Malaysia.
Selain itu, katanya, sokongan tersebut juga perlu memastikan semua pihak termasuk Israel patuh dan dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.
“Jika terdapat klausa dalam deklarasi yang bercanggah dengan dasar luar Malaysia atau boleh menjejaskan prinsip keadilan, maka pilihan untuk berkecuali atau abstain atas mana-mana bahagian deklarasi tersebut wajar dipertimbangkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















