KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menyindir Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dengan merujuk kepada nama-nama binatang semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Nak tanya sikit Pasir Mas, tadi ada sebut soal berkaitan gajah tetapi beruk dan kambing tidak disebut.
“Jadi nak tanya sewaktu jadi kerajaan dahulu tak ada minta ke lebuhraya? Itu soalan saya kepada Pasir Mas,” kata Mohd Sany.
Ahmad Fadhli walau bagaimanapun membidas dengan berkata soalan yang ditanya sesuai dengan orang yang bertanya itu.
“Bagus juga nama-nama binatang itu. Masukkan dalam ucapan Hulu Langat selepas ini. Dia kadang-kadang sesuailah dengan orang yang bertanya itu,” katanya.
Kenyataan itu mencetuskan kekecohan apabila Mohd Sany meminta Ahmad Fadhli untuk menarik semula kenyataannya.
“Saya tanya elok-elok tadi tu. Kita sahabat. Awak daripada Parti Islam Se-Malaysia. Kan saya tanya elok-elok.
“Saya minta awak untuk tarik balik tu, tak ada adab dan biadap,” kata Mohd Sany.
Ahmad Fadhli kemudiannya memberitahu Hulu Langat tidak sebarang fakta untuk diberitahu dan pertikaman lidah itu kemudiannya memaksa campur tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Tak perlu jawab tentang kambing, unta, beruk lembu itu. Semua duduk dan teruskan ucapan,” kata Johari.
Ahmad Fadhli kemudian meneruskan perbahasan dengan mempersoalkan ketiadaan angka rasmi peruntukan kepada Kelantan dalam dokumen RMK-13.
Katanya, beberapa sektor strategik yang melibatkan Kelantan disebut, namun tidak disertakan jumlah agregat atau komitmen kewangan yang jelas.
“Negeri yang sering dikaitkan dengan kadar KDNK rendah ini sepatutnya diberi perhatian lebih oleh kerajaan,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah yang disebut dalam RMK-13 tetapi tidak diperincikan pelaksanaannya di Kelantan.
“Kalaulah setiap kali kita bangkitkan sesuatu isu, kita terus dipersoal kenapa tak bangkitkan dulu, maka lebih baik tak payah berucaplah kita,” katanya. – MalaysiaGazette















