KUALA LUMPUR – Dana emas dan tunai luar negara berjumlah puluhan bilion dolar Amerika Syarikat (AS) yang tersimpan di institusi kewangan di luar negara antara helah digunakan untuk memperdaya 57 individu dalam Skim Pelaburan Tahyul sejak 2023.
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan, mangsa dijanjikan pulangan luar biasa sekiranya mereka membantu membiayai ‘pengaktifan’ dana tersebut.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mangsa termasuk seorang pegawai bank mengalami kerugian berjumlah RM8.37 juta setelah terpedaya dengan pulangan pelaburan sehingga lebih 300 kali ganda.
“Dakwaan ini adalah disyaki palsu dan sebahagian daripada strategi penipuan.
“Ada di antara mangsa mendakwa perlu melabur wang tunai sehingga RM120,000, membuka akaun korporat bernilai RM20,000 dan mendaftarkan syarikat di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Ia disyaki untuk menerima aliran masuk dana dari luar negara sebagai sebahagian daripada tugasan yang disyaki diperlukan untuk membawa dana masuk ke Malaysia,” katanya pada sidang media, di pejabatnya, di sini, hari ini.

Menurut Hishamuddin, mangsa diarah untuk membuka akaun korporat dengan menjalankan aktiviti membela haiwan ternakan seperti lembu untuk mengaburi mata pihak bank.
“Mastermind akan minta mangsa daftar akaun korporat atas aktiviti membela lembu untuk mengelakkan akaun itu disekat kerana menjalankan aktiviti pelaburan tidak wujud,” katanya.
Hishamuddin berkata, ada dalam kalangan mangsa mengakui terpedaya dengan sindiket hanya mereka pakaian yang berimej agama seperti memakai jubah dan kopiah.
“Malah sindiket memperdaya mangsa dengan menyandarkan skim pelaburan itu dengan institusi agama seperti Masjid Wilayah Persekutuan kononnya bakal beroleh pahala berpanjangan sebagai penama.
“Sindiket menjanjikan pelaburan itu bertujuan untuk menebus semula tanah di Jalan Duta yang menjadi pertikaian antara kerajaan dan Semantan Estate di mahkamah,” katanya.
Selain itu, kata Hishamuddin, skim itu disyaki dikendalikan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang dikenali sebagai “mastermind” pelaburan ini dan diikuti oleh beberapa orang “mandate” dan “leader”.
“Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menunjukkan dokumen-dokumen tertera logo rasmi institusi kewangan termasuk Bank Negara Malaysia dan institusi luar negara yang disyaki telah dipalsukan memperdayakan pelabur,” katanya.
Hishamuddin juga berkata, dalang kepada dana tahyul ini juga disyaki bukan sebuah entiti pelaburan sah, tidak tersenarai dengan mana-mana institusi kewangan yang diiktiraf di Malaysia.
“Sehingga ke hari ini, mangsa tidak pernah menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan dan hanya diberikan pelbagai alasan termasuk masalah teknikal bank luar negara dan proses pemindahan dana belum lengkap.
“Tiada dokumen rasmi seperti perjanjian pelaburan atau laporan audit pernah diberikan kepada mereka, dan situasi ini disyaki disengajakan untuk melengahkan serta mengelirukan mangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















