KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,004 hektar tanah Rizab Melayu masih wujud di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan pelbagai jenis guna tanah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata, jumlah tersebut merangkumi 11 kampung Melayu dengan keluasan 701.95 hektar.
“Secara keseluruhan, terdapat 37 penempatan tradisi atau kampung di Kuala Lumpur seperti yang dikenal pasti di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).
“Sebanyak 31 daripadanya merupakan kampung dengan penduduk majoriti Melayu meliputi 1,660.12 hektar,” katanya ketika menjawab soalan lisan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) di Dewan Rakyat hari ini.
Zulkifli sebelum itu meminta penjelasan mengenai jumlah keluasan penempatan tradisi dan Rizab Melayu yang masih wujud di Wilayah Persekutuan serta pelan jangka panjang kerajaan untuk mengekalkan identiti dan pemilikan komuniti Melayu di tengah bandar.
Menurut Dr Zaliha, kesemua kampung tradisi telah diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu Kampung Tradisi, Kampung Potensi Pembangunan dan Kampung-Kampung Lain termasuk Kampung Baru.
“Kampung Tradisi diberi penekanan daripada segi pembentukan semula kampung beridentiti tradisional, manakala kampung yang berpotensi dibangunkan akan ditetapkan dengan zon guna tanah dan intensiti pembangunan yang bersesuaian.
“Bagi kampung lain, tumpuan adalah kepada penaiktarafan infrastruktur dan utiliti untuk kesejahteraan penduduk,” katanya lagi.
Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang diwartakan pada 28 Mei lalu turut menetapkan zon guna tanah secara khusus bagi kampung tradisi dikenali sebagai TV1 dan TV2.
Dr Zaliha turut memaklumkan fokus utama perancangan ini adalah Rizab Melayu di Gombak melibatkan enam kawasan iaitu Kampung Padang Balang, Kampung Sungai Mulia, Kampung Sungai Merali, Kampung Banda Dalam serta sebahagian Kampung Chubadak Hulu dan Kampung Puah Asal.
Bagi memastikan kelangsungan komuniti Melayu di ibu negara, kuota pemilikan bumiputera telah ditingkatkan sejak tahun 2023 iaitu minimum 40 peratus bagi projek persendirian dan 70 peratus untuk projek kerajaan atau usahasama.
“Untuk Rizab Melayu, pemilikan mesti 100 peratus Melayu tanpa kompromi,” tegasnya.
Kerajaan juga sedang meneliti cadangan pelaksanaan komponen pembangunan Melayu di tanah Rizab Melayu dan kawasan Malay Agriculture Settlement (MAS) yang melibatkan Rumah Mampu Milik Melayu, Kedai Mampu Milik Melayu dan Perindustrian Ringan Mampu Milik Melayu.
Namun katanya, cadangan itu masih di peringkat awal kajian dan memerlukan pertimbangan Jemaah Menteri sebelum dapat dilaksanakan.
Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan Putrajaya tidak mempunyai tanah Rizab Melayu manakala di Labuan, istilah yang digunakan ialah Tanah Anak Negeri di bawah Enakmen Anak Negeri. – MalaysiaGazette
















