KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa ramai ibu bapa di Sabah ketika ini takut atau fobia untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama.
Ketakutan itu susulan kes buli yang berleluasa dalam kalangan pelajar yang tinggal di asrama sama ada di sekolah kebangsaan; sekolah agama mahu pun di kolej vokasional.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) segera mencari pendekatan baharu untuk menangani kes kejadian buli melibatkan pelajar di asrama sekolah tersebut.
“Sekarang di Sabah banyak ibu bapa yang berasa fobia untuk hantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama kerana beranggapan mereka menghantar anak-anak untuk dibuli.
“(Sedangkan) ibu bapa menghantar anak mereka untuk mendapatkan ilmu, belajar…tetapi di sekolah anak mereka dibunuh (buli).
“Jadi, Menteri Pendidikan perlu melihat isu ini secara saksama, kita mahu buat transformasi di seluruh negara, tetapi di sekolah tidak ada transformasi…ini tidak betul,” katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika ini, kes kematian seorang pelajar di Sabah, Zara Qairina Mahathir menjadi perhatian seluruh negara selepas banyak pihak mendesak keadilan ditegakkan terhadap pelajar tingkatan satu berkenaan yang dikaitkan sebagai mangsa buli di sekolah.
Malah, kejadian menimpa Zara Qairina turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan siasatan perlu dilakukan secara telus dan mendalam.
Terdahulu, Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah, pukul 4 pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, keesokan harinya.
Kes berkenaan menjadi semakin rumit selepas peguam kepada keluarga mangsa mendesak kubur Allahyarham digali semula dan bedah siasat dijalankan berikutan dakwaan kecederaan pada tubuh yang dikaitkan dengan kejadian buli yang dibuat oleh ibu mangsa. – MalaysiaGazette
















