HULU SELANGOR – Seorang pemuda warga asing ditahan polis selepas didapati melakukan gangguan seksual ke atas remaja perempuan berusia 14 tahun di Flat Sri Cempaka, Bukit Sentosa, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan diterima pihaknya daripada remaja terbabit, kira-kira jam 3 petang, pada Ahad.
“Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Hulu Selangor, kira-kira jam 11.45 malam, Isnin lalu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya, hasil semakan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod lampau, manakala hasil saringan air kencing pula negatif.
“Suspek ditahan reman bermula 5 Ogos 2025 hingga 7 Ogos 2025 selama tiga hari untuk siasatan lanjut.
“Dia disiasat mengikut Seksyen 15 (A) (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017
“Jika disabitkan kesalahan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.
Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan dadah, jenayah dan sebarang aktiviti yang mencurigakan digesa untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan Daerah, Balai-balai berdekatan atau FB messenger IPD Hulu Selangor.
“PDRM Hulu Selangor akan mengambil tindakan segera ke atas setiap maklumat serta aduan yang diterima tanpa sebarang kompromi serta prejudis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















