Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menggesa kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi melarang diskriminasi kaum dalam sektor penyewaan rumah, selaras dengan semangat Malaysia sebagai negara majmuk dan nilai-nilai madani yang sering dilaungkan.

Berucap ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan iklan sewa rumah yang masih menggunakan frasa seperti ‘Melayu sahaja’, ‘Cina sahaja’ atau ‘India tidak dibenarkan’ yang menurutnya mencerminkan realiti diskriminasi yang berleluasa.

“Bagaimanakah kita boleh bercakap tentang meritokrasi jika peluang mendapat tempat tinggal masih ditentukan oleh warna kulit? Seorang graduan Melayu mungkin ditolak kerana bukan Cina, seorang wanita India mungkin dipinggirkan hanya kerana namanya,” katanya.

Beliau turut memetik dapatan kajian organisasi Architects of Diversity yang mendedahkan  68 peratus rakyat Malaysia majoritinya anak muda menyokong penggubalan undang-undang khusus untuk melarang diskriminasi kaum dalam penyewaan rumah.

Menurutnya, langkah itu bukan bertujuan menyekat hak pemilik rumah tetapi bagi menetapkan garis panduan beretika demi memastikan akses yang adil kepada tempat tinggal bagi semua lapisan rakyat.

“Ini bukan sekadar soal keadilan sosial, tetapi soal keperluan asas. Rumah bukan sekadar aset, tetapi keperluan harian yang penting terutamanya bagi anak muda yang kini semakin sukar untuk memiliki rumah sendiri,” jelasnya.

Tambah Syerleena, kenaikan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi telah menjadikan penyewaan sebagai pilihan utama golongan muda berbanding pembelian hartanah yang semakin tidak mampu milik.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Akta Penyewaan Kediaman dikaji semula dan diperkukuh bagi melindungi penyewa daripada diskriminasi serta memastikan hubungan yang adil dan profesional antara tuan rumah dan penyewa.

“Generasi muda mahukan perubahan struktur, bukan sekadar retorik perpaduan. Jika kita benar-benar mahu membina masyarakat inklusif, inilah antara langkah penting yang perlu diambil,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast