KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menegaskan keputusan beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disebabkan kejujuran pemimpin parti itu dalam berjuang membela nasib bangsa.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata, Bersatu juga akan bertanding dengan jumlah kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun di Selangor.
Sementelah, ujar beliau, Bersatu ketika ini juga sudah menggantikan UMNO apabila jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki Bersatu jauh lebih besar berbanding UMNO.
“Soal kalah menang itu ketentuan Ilahi, usaha mesti kita lakukan, cita-cita mesti kita perlihatkan dengan kesungguhan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Mohamad Khir dikatakan sudah menyertai Bersatu seperti didedahkan Ketua Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik menerusi satu hantaran di Facebook mengenai satu majlis makan tengah hari bersama Mohamad Khir dan individu lain.
Sementara itu, Mohamad Khir memberi jaminan kepada pemimpin Bersatu yang mana beliau tidak mempunyai cita-cita besar dalam membuat keputusan menyertai parti tersebut.
Sebaliknya, ujarnya, beliau hanya mahu menghabiskan sisa-sisa kudrat untuk memastikan pimpinan negara dikuasai oleh pemimpin Melayu yang mampu memberi keadilan kepada semua seperti yang pernah dilakukan UMNO suatu ketika dulu.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan UMNO kini telah menjadi parti `supplement’ kepada Pakatan Harapan (PH), dan menjangkakan UMNO tidak akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dengan jumlah kerusi yang lebih banyak berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana UMNO mampu menjadi parti dominan sekiranya bertanding dengan jumlah kerusi yang sedikit, justeru menyifatkan parti itu akan terus `menyorok di bawah ketiak PH’.
“Saya tidak bercita-cita utk menjadi pemimpin besar lagi, tetapi saya tidak mahu berjuang dalam parti yang hanya sekadar parti supplement kepada parti lain.
“Saya sangat hargai peluang yang UMNO berikan pada saya dan secara peribadi kepada Tun Dr Mahathir (Mohamad) yg telah memilih saya untuk menjadi Menteri Besar Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette
















