KLUANG – Dua lelaki ditahan termasuk remaja berusia 15 tahun kerana pecah masuk sebuah kedai runcit di Ladang Nenas, Simpang Renggam di sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan membuat laporan polis memaklumkan kedai runcit miliknya dipecah masuk pukul 11 malam pada 30 Julai lalu.
“Susulan kejadian itu sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dibantu Balai Polis Simpang Renggam melancarkan Op Pintu dan berjaya menahan dua lelaki.
“Dua suspek berkenaan yang berusia 15 dan 23 tahun ditahan di Lorong 5, Ladang Nenas, Simpang Renggam pada pukul 2 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.
Kata Bahrin, semakan rekod terhadap kedua-dua suspek mendapati tiada rekod kesalahan jenayah lampau.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif daripada sebarang penggunaan dadah.
Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Kedua-dua suspek direman dengan tempoh tahanan reman yang berbeza. Suspek pertama direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 30 Ogos manakala suspek kedua direman lima hari bermula hari ini sehingga 11 Ogos,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu ujarnya, boleh datang ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline), 014-3656822 (tablet DCC).- MalaysiaGazette















