KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat menyifatkan cadangan menurunkan had umur belia daripada 35 ke 30 tahun sebagai satu langkah yang boleh mengulangi kesilapan pelaksanaan Undi18.
Menurut beliau, cadangan itu sekiranya dilaksana tanpa persediaan rapi boleh menimbulkan pelbagai kesan sampingan yang tidak diingini.
Jelas beliau, tempoh umur 18 hingga 30 tahun terlalu pendek untuk digelar fasa pembangunan belia, apatah lagi pada zaman sekarang yang mana jangka hayat manusia semakin panjang.
Tambahnya, langkah itu akan menyebabkan anak muda dipaksa keluar daripada ekosistem belia terlalu awal sebelum mereka benar-benar bersedia bersaing dalam kelompok masyarakat yang lebih senior.
“Ramai anak muda hanya mula stabil dalam kerjaya sekitar umur 28 hingga 30 tahun.
“Namun, ketika itu mereka sudah ‘dikeluarkan’ dari kategori belia, sekali gus kehilangan akses kepada peluang, sokongan dan jaringan pembangunan yang masih mereka perlukan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan, ketetapan had umur 30 tahun bagi belia di negara ini akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan selaras pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).
Menurut Hannah, keputusan itu kekal meskipun ada kebimbangan dan permintaan daripada beberapa pertubuhan belia supaya pelaksanaannya ditangguhkan.
Sementara itu, Wei Kita berkata, kerajaan sepatutnya memberikan keutamaan kepada reformasi sistem pendidikan terlebih dahulu seperti yang dicadangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan disarankan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Ujarnya, pendidikan wajib boleh dimulakan seawal umur lima tahun supaya usia tamat sekolah menengah boleh dicapai pada 16 tahun, seterusnya menamatkan pengajian universiti pada umur 21 tahun.
“Dengan itu, barulah sesuai untuk berbincang semula soal takrifan umur belia dan keperluan menurunkannya daripada 35 ke 30 tahun,” katanya.
Tambahnya, buat masa ini juga, perubahan umur dari 40 ke 35 tahun sendiri sudah memberi cabaran besar kepada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan belia untuk menyesuaikan struktur mereka.
Katanya, jika had umur itu sekali lagi diturunkan kepada 30 tahun, ia hanya akan menyebabkan lebih ramai belia meninggalkan pertubuhan sedia ada dan menubuhkan NGO biasa yang akhirnya melemahkan pembangunan organisasi belia secara keseluruhan. – MalaysiaGazette
















