BAYAN LEPAS – Dua beranak melecur dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Jalan Permatang Damar Laut di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Mazlan Mohamad Sharif, 54, dan anak perempuannya, Marhaini Syuhada, 19, melecur di kaki dan badan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohamad Hirman Mat Rodzi berkata, sebaik tiba pihaknya mendapati dua rumah jenis kelas B terbakar yang mana salah satu daripadanya musnah 90 peratus, manakala sebuah lagi rosak 10 peratus.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, dua mangsa yang terdiri daripada bapa dan anak perempuannya melecur akibat kejadian.
”Mereka berjaya keluar menyelamatkan diri namun dikesan melecur tahap satu pada kaki serta badan sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)
“Difahamkan, lelaki terbabit berada di dapur ketika berlaku kebakaran dan anaknya yang berada di tingkat atas melecur ketika mahu menyelamatkan diri,” katanya hari ini.
Tambah beliau, api berjaya dikawal pada jam 12.48 tengah hari namun semua barangan termasuk dokumen peribadi musnah dalam kebakaran tersebut.
“Siasatan masih dijalankan termasuk menilai jumlah kerugian,” katanya.
Difahamkan, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas petroleum cecair (LPG) di dapur salah sebuah rumah. – MalaysiaGazette
















