Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Hasrat seorang kerani mahu menambah pendapatan dengan kerja sambilan tidak kesampaian apabila diperdaya RM92,163 selepas tertarik dengan kerja mudah dalam talian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa merupakan seorang wanita yang berusia 38 tahun dan berkerja sebagai kerani di syarikat swasta.

“Semuanya bermula pada pukul 6 petang, 31 Julai lalu mangsa ketika berada di rumahnya di Taman Daya di sini melihat iklan kerja sambilan dalam aplikasi Whatsapp sebelum menekan pautan.

“Dia kemudian dimasukkan dalam kumpulan bernama Hadiah dan Feedback sebelum berhubung dengan aplikasi Telegram dengan individu bernama Faniza,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, suspek menawarkan kerja sambilan yang mudah dengan janji komisen antara 10 hingga 15 peratus bagi setiap tugasan.

“Mangsa diperdaya untuk melakukan tugasan dengan menekan butang follow dan mengambil paparan skrin sebelum dihantar kepada suspek.

“Sebagai ganjaran komisen akan diberikan bagi setiap tugasan yang diselesaikan. Ibu kepada tiga anak itu kemudian diarahkan melakukan transaksi,” ujarnya.

Raub berkata, wanita tersebut melakukan 10 transaksi ke dalam enam akaun bank berbeza bermula 2 Ogos hingga semalam dengan jumlah keseluruhan RM92,393.

Bagaimanapun katanya, mangsa hanya menerima pulangan RM230 dan masih diminta untuk membuat pembayaran tambahan sebelum menyedari ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Johor Bahru Selatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast