Kemalangan melibatkan empat kenderaan mengakibatkan seorang lelaki maut di Lebuhraya Utara Selatan, Tangkak semalam.

TANGKAK – Seorang pemuda maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua treler dan dua motosikal di Kilometer 160.0 Lebuhraya Utara Selatan di sini semalam.

Kemalangan tersebut yang berlaku pukul 2 pagi melibatkan lima mangsa dan mengorbankan seorang daripadanya iaitu Abdul Hakim Zakaria berusia 19 tahun.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Azli Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.52 pagi.

“Seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan melibatkan treler membawa muatan bahan kimia jenis H202, treler bawa kargo, motosikal jenis Honda SR dan Yamaha Y15,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kemalangan tersebut menyebabkan penunggang Yamaha Y15 meninggal dunia di lokasi manakala dua lagi iaitu seorang lagi penunggang Honda SR dan pemandu treler pertama cedera sementara dua lagi mangsa selamat.

Menurutnya, pihak bomba memberikan rawatan awal kepada semua mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak hospital manakala mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pihaknya juga mendapat rujukan dengan pihak Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Larkin untuk mengesahkan muatan bahan kimia yang dibawa itu tidak membahayakan.

Sementara itu, jurucakap polis Tangkak berkata, kemalangan tersebut melibatkan empat kenderaan yang berada di laluan yang sama.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler pertama hilang kawalan sebelum melanggar sebuah treler lain di hadapannnya sebelum treler yang dilanggar itu terbabas ke kiri jalan.

“Kemudian datang dua buah motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar treler pertama,” katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast