Mohammad Afsar (atas) dan Md Rafiqul (bawah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhanbyang ada kaitan dengan kumpulan pengganas IS di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Pertuduhan terhadap dua lelaki warga Bangladesh dalam kes berkaitan  dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS) yang sepatutnya dibacakan hari ini di Mahkamah Sesyen di sini ditangguhkan berikutan ketiadaan jurubahasa.

Penangguhan tersebut diputuskan selepas tertuduh Mohammad Afsar Bhuiyan, 30, dan Md Rafiqul Islam, 35, difahamkan tidak memahami bahasa Melayu dan Inggeris.

Mohammad Afsar berdepan dua pertuduhan manakala Md Rafiqul berdepan satu pertuduhan.

Mereka berdepan pertuduhan memiliki telefon bimbit mengandungi bahan berkaitan kumpulan pengganas IS di Gelang Patah, Iskandar Puteri, Jun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau denda, serta pelucuthakan bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, ketika prosiding di hadapan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail memberitahu mahkamah bahawa pertuduhan tidak dapat dibacakan memandangkan tiada jurubahasa Bangladesh.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi pertuduhan dibacakan, tetapi jurubahasa Bangladesh tiada, saya mohon satu tarikh lain bagi memanggil jurubahasa Bangladesh. Tiada jaminan ditawarkan,” katanya.

Sehubungan Che Wan Zaidi Che menetapkan 12 September ini sebagai tarikh sebutan semula untuk kehadiran jurubahasa serta pembacaan pertuduhan.

Terdahulu kedua-dua tertuduh tiba di pekarangan mahkamah pukul 8.30 pagi dengan memakai kaca mata dikawal ketat anggota polis yang lengkap bersenjata.

Pada 4 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kumpulan GMRB dikesan menyebarkan fahaman ekstrem dalam kalangan warga Bangladesh yang memasuki negara ini secara sah untuk bekerja, sebelum merekrut mereka menyertai kegiatan berkaitan keganasan.

Menurut Mohd Khalid, kumpulan itu didapati mula menyebarkan ideologi kumpulan pengganas IS kepada komuniti migran terutama warga Bangladesh, melalui platform media sosial dan aplikasi pesanan.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata, polis mengesan beberapa akaun Facebook aktif menyebarkan propaganda IS.

Katanya, hasil semakan menunjukkan akaun terbabit menggunakan alamat IP dari Malaysia dan dikendalikan oleh warga Bangladesh yang bekerja di negara ini.

Susulan itu, beliau berkata, operasi keselamatan bersepadu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sejak April lalu yang membawa kepada penahanan enam individu di Selangor pada 28 April.

“Hasil soal siasat turut mendedahkan kewujudan GMRB yang berpangkalan di Johor. Sehubungan itu, tiga fasa operasi dilaksanakan bermula 28 April lalu.

“Pada 7 Mei lalu, 14 individu termasuk ketua kumpulan itu ditahan di Johor, manakala 16 lagi ditahan antara 19 hingga 21 Jun lalu. Jumlah keseluruhan tangkapan ialah 36 individu,” katanya.

Daripada jumlah itu, Mohamad Khalid berkata, lima individu sudah dituduh mengikut Bab VIA Kanun Keseksaan atas penyertaan dalam organisasi pengganas dan menyebarkan fahaman ekstremis.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast