KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mat Yasir Ikhsan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, jam 3 pagi tadi akibat sakit tua pada usia 78 tahun.
Berita kematian Allahyarham Mat Yasir dimaklumkan anak beliau, Azwan menerusi hantaran di laman Facebook, awal pagi tadi.
Menurut Azwan, jenazah ayahandanya akan diurus dan disolatkan di Surau Raudhah Al-Muttaqin, Seksyen 4, Shah Alam, selepas solat Asar.
“Jenazah ayahanda saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.
“Mohon doa daripada jiran dan sahabat untuk arwah. Semoga perjalanannya ke alam barzakh diberkati,” katanya.
Allahyarham Mat Yasir merupakan bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar antara 1999 hingga 2004 serta Parlimen Sabak Bernam antara 2004 hingga 2008.
Allahyarham juga pernah menganggotai Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) antara 2002 hingga 2013.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru selama 18 tahun sejak 1966 yang kemudiannya menyertai Yayasan Selangor (1985-1994) dan kembali ke Jabatan Pelajaran Selangor (1995). – MalaysiaGazette
















