KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mencadangkan agar pekerja asing tidak perlu terlibat dengan dasar gaji minimum atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, cadangan Guan Eng seolah-olah cubaan membuli pekerja asing dan mengkhianati perjuangan pekerja.
“Malaysia telah tercalar reputasi dengan laporan mengenai buruh paksa yang mengakibatkan barangan Malaysia disekat.
“Cadangan Yang Berhormat Guan jika dilaksanakan akan menjerumus Malaysia ke tahap tiga dalam laporan pemerdagangan manusia,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Guan Eng semasa sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen pada Rabu berkata, Malaysia tidak terikat dengan mana-mana konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Menurut Guan Eng, Malaysia tidak wajib mengenakan dasar gaji minimum RM1,700 atau caruman KWSP sebanyak 2 peratus ke atas pekerja asing yang telah pun diambil bekerja.
Guan Eng berkata, dasar gaji minimum dan caruman sepatutnya hanya terpakai kepada pengambilan pekerja asing baharu kerana pekerja sedia ada telah diambil dengan terma berbeza.
Selain itu, Kamarul Baharin juga menempelak cadangan Guan Eng sambil menyifatkannya sebagai tidak peka kepada kehidupan pekerja sama ada warga asing mahupun tempatan.
“Cubaan eksploitasi pekerja asing untuk bayaran gaji rendah dan tiada jaminan sosial akan menyekat usaha kerajaan menyasarkan tahap 1 pada 2030.
“Gaji minima adalah cara untuk menambah pendapatan pekerja yang sekian lama dibayar gaji mengikut permintaan dan penawaran.
“Kesannya di mana ada pekerja yang bekerja lebih 25 tahun dibayar dengan gaji minima RM1,700,” katanya.
Beliau turut mendesak Kementerian Sumber Manusia melakukan penguatkuasaan kepada majikan yang gagal membayar gaji minimum baharu.
“Kadar baharu ini telah sepenuhnya dikuatkuasakan bermula pada 1 Ogos 2025,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















