KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) yang bermesyuarat kelmarin menuntut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh memohon maaf secara terbuka kepada seluruh golongan orang kurang upaya (OKU) atas kenyataannya yang tidak sensitif dan memalukan.
Dalam kenyataan bersama semalam, AMH turut mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Dr. Muhamad Akmal yang disifatkan menghina golongan OKU dalam reaksinya terhadap pengkritik beliau.
Menurutnya, kenyataan Dr. Muhamad Akmal itu menghantar mesej bahawa semua yang tidak bersetuju dengan beliau adalah wajar diberikan kad OKU.
“Tindakan menggunakan golongan OKU sebagai bahan jenaka politik adalah satu bentuk diskriminasi yang sangat keji dan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang; Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Ammar Atan; Ketua Penerangan Pemuda UPKO, Fardy Bungga; Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Danish Hairudin dan Ketua Biro Komunikasi WARDA, Siti Nur Aishah Mohd Zain.
Sementara itu, tambah kenyataan itu, AMH turut mencabar pembangkang segera mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat dan berhenti memberikan pelbagai alasan dan terus bersandiwara.
“Sekiranya tidak berani membawa atau gagal dalam menjayakan usul tersebut, maka pembangkang harus akur dan memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam masa sama, tambahnya, AMH menyeru semua Ahli Parlimen membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) secara matang, profesional dan berasaskan fakta, serta mengemukakan kritikan dan cadangan membina.
“Tindakan (pembangkang) membandingkan ketebalan pelan semata-mata tanpa meneliti isi kandungannya hanyalah satu bentuk politik murahan yang tidak membantu negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















