KUALA LUMPUR – Istana Kehakiman Putrajaya dijangka menjadi tumpuan ramai Rabu ini apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan rayuan Peguam Negara untuk menghalang Datuk Seri Najib Razak meneruskan semakan kehakiman berkaitan titah adendum.
Keputusan tersebut sama ada disampaikan secara sebulat suara atau majoriti, bakal menjadi tarikan umum kerana perintah mahkamah itu akan menjadi penentu hala tuju semakan kehakiman yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri.
Jika rayuan Peguam Negara ditolak, semakan kehakiman Najib untuk memaksa kerajaan mengemukakan titah adendum, diteruskan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi berdasarkan tarikh-tarikh yang ditetapkan.
Sebaliknya, jika rayuan dibenar, usaha bekas Perdana Menteri untuk meneruskan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mandamus yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah, akan terhenti setakat itu.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak mempunyai satu lagi usaha untuk mengetepikan keputusan terdahulu melalui permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan.
Dalam keputusan Rabu ini, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menentukan sama ada mengekal atau mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Pada 9 Julai lalu, beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Ketika berhujah, Muhammad Shafee antara lain menyatakan, Peguam Negara sepatutnya segera berterus-terang dari awal bahawa titah adendum wujud.
Hujah beliau, Peguam Negara sewajarnya melaksanakan kewajipan secara jujur (duty of candour) dengan memberikan maklumat yang benar termasuk dokumen ketika di Mahkamah Tinggi, sebaliknya beliau bertindak membantah kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Najib.
Pada 2 Julai lalu, Mohd. Dusuki berhujah, Najib dan anaknya Datuk Mohamad Nizar tidak mengemukakan bukti munasabah berkaitan kewujudan titah adendum, walhal berpeluang berbuat demikian di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Hujah beliau, Mohamad Nizar yang merupakan Exco Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, berpeluang mendapatkan titah itu kerana beliau kerap menghadiri mesyuarat dan pertemuan dengan Sultan Pahang.
Perlu diketahui bahawa Najib pada asalnya gagal mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Julai tahun lalu.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri ‘lega’ seketika apabila Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu memerintahkan semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan oleh hakim berlainan.
Hakim terdahulu, Datuk Amarjeet Singh ketika menolak kebenaran semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit bagi menyokong permohonannya termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.

Dalam permohonannya, Najib mahukan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu supaya kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama daripada Seri Paduka ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Jika perintah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya. – MalaysiaGazette















