JASIN – Seorang warga emas direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Jasin, hari ini, kerana disyaki mencium pipi dan memegang kemaluan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, Sabtu lalu.
Perintah reman terhadap penjual kerepek berusia 63 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin bermula hari ini sehingga 17 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Menurut sumber, perbuatan suspek terbongkar pada jam 12 tengah hari 9 Ogos lalu selepas pengadu, iaitu nenek mangsa dipanggil oleh anak saudaranya memaklumkan cucunya itu telah diraba dan dicium suspek di kawasan rumahnya di Batu 18, Kesang Tua, di sini.
“Sebaik sahaja keluar rumah, pengadu berusia 56 tahun ternampak suspek sedang mencium pipi cucunya itu sebelum dia menjerit memanggil suspek namun dia tidak mengendahkannya dan terus beredar dari situ.
“Wanita itu kemudian melihat suspek menuju ke arah sebuah kereta Honda Jazz dan apabila pengadu menghampirinya, pemandu wanita mendakwa suspek adalah pekerja ibunya dan hanya meminta maaf sebelum beredar,” katanya.
Menurutnya, pengadu kemudian bertanya anak saudaranya, apakah yang berlaku dan dia memberitahu ternampak suspek mencium pipi dan memegang bahu mangsa.
“Suspek juga dikatakan cuba memberikan gula-gula kepada mangsa, namun ditolak sebelum warga emas itu memegang kemaluan mangsa.
“Bertindak hasil laporan polis, sepasukan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek untuk permohonan reman hari ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















