Haron (tengah) memenangi RM10, 000 dalam Cabaran Joran Selangor 2025 di UPM semalam.

Serdang, 11 Ogos – Aksi ‘ikan patin menganas’ saat-saat akhir mencuri tumpuan lebih 500 kaki pancing yang berkumpul di Kolam 1 dan 2, Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyertai Cabaran Joran Selangor 2025 bersempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 semalam.

Pertandingan anjuran bersama Lestari Events dan UPM Holdings dengan kerjasama Tourism Malaysia itu menerima penyertaan luar biasa termasuk peserta dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Perak serta wakil dari negara China yang pertama kali turun berentap di kolam ikonik UPM.

Sejak awal pagi, peserta sabar menunggu kelibat ikan namun menjelang detik penamat barulah suasana menjadi gamat apabila ikan patin mula galak menyambar umpan,sehingga memaksa peserta berhempas pulas mengawal asakan.

Spesies ikan tongsan, rohu dan lekoh turut memberi cabaran sengit kepada kaki pancing.

Kemenangan mutlak milik Haron Harrani bin Abdullah, 31, dari Dengkil selepas berjaya menaikkan seekor patin seberat 8.055 kilogram (kg) menggunakan umpan roti pandan.

Tangkapan itu melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000.

Haron yang bekerja sendiri dan sudah 15 tahun aktif dalam dunia pertandingan memancing menyifatkan kejayaan itu hasil pengalaman panjang serta sokongan rakan-rakan.

“Saya gembira dan bersyukur. Selain hadiah, saya hargai persahabatan dan perkongsian ilmu di tepi kolam seperti ini,” katanya tersenyum.

Tempat kedua dimenangi Azrull Fitri bin Sharifuddin, 51, dari Sungai Besi dengan patin seberat 6.320 kg sekaligus meraih RM3,000.

Mohd Fairuz bin Bilal, 41, dari Sungai Merab pula di tempat ketiga dengan patin 6.235 kg yang membolehkannya membawa pulang RM1,000.

Pengurus Besar UPM Business Management Sdn Bhd, Shahril Dasti menyifatkan sambutan kali ini membuktikan potensi besar kolam pancing UPM untuk dijadikan pusat rekreasi setempat.

Katanya, lokasi yang sama bukan sahaja sesuai untuk pertandingan memancing malah mampu menarik keluarga dan pelancong untuk beriadah.

Beliau turut mengumumkan rancangan menganjurkan satu lagi pertandingan memancing pada bulan November sempena Pesta Konvokesyen UPM dengan tawaran hadiah yang lebih lumayan bagi menarik lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara.

Selain memancing, Bukit Ekspo UPM menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi seperti golf, paintball, abseiling dan aktiviti santai lain yang sesuai untuk semua peringkat umur. Keindahan landskap kampus yang menghijau menambah pengalaman rekreasi yang segar dan menyeronokkan.

Acara itu juga selari dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, menjadikan UPM destinasi unik yang menggabungkan sukan, rekreasi dan pelancongan dalam satu lokasi.

Cabaran Joran Selangor 2025 sekali lagi membuktikan  memancing bukan sekadar hobi tetapi platform untuk mengeratkan ukhwah, berkongsi teknik serta mempromosikan lokasi-lokasi menarik di Malaysia kepada dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast