MELAKA – Seorang lelaki maut manakala adiknya parah selepas dua motosikal ditunggangi terlanggar sebatang dahan pokok patah yang jatuh melintangi jalan di Lebuh AMJ, dekat Kandang di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa Muhammad Fauzy Borhan, 33, disahkan maut ditempat kejadian akibat parah di muka manakala adiknya, Muhammad Naim, 30, yang parah di kepala dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian Muhammad Fauzy dan adiknya masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dan Yamaha Y15 dalam perjalanan dari Tampin ke Muar, Johor.
“Nahas dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal terbabit terlanggar dahan pokok yang patah dan jatuh melintangi Lebuh AMJ menyebabkan dua beradik itu tercampak ke hadapan.
“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di muka sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan manakala adiknya parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnnya, ketika kejadian cuaca sedang hujan dan tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) atau saksi bebas dan Pol 61 telah diserahkan ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















