KUALA LUMPUR – Penglibatan Pasukan Petugas Khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah antara empat permintaan daripada peguam keluarga pelajar itu.
Menurut peguam terbabit, pada 5 Ogos pihaknya menghantar empat perkara yang dipohon kepada Jabatan Peguam Negara antara lain proses siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.
“Perkembangan positif ini diharap dapat merungkai isu kematian Zara dan seterusnya membuktikan bahawa wujud unsur jenayah yang telah menyebabkan kematian tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Perkara lain yang dipohon termasuk kertas siasatan dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia dan siasatan dibuka semula, kubur Zara Qairina digali semula agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian.
Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi turut meminta satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara Qairina,
Semalam media melaporkan, PDRM menubuhkan satu pasukan petugas khas dari Bukit Aman yang akan mengambil alih siasatan kes kematian Zara Qairina.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataan berkata, pasukan terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu digerakkan ke Kontinjen Sabah.
“Penghantaran pasukan ‘task force’ ini adalah sebahagian daripada komitmen PDRM untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“PDRM memandang serius setiap kes yang membabitkan kehilangan nyawa,” kata kenyataan itu.-MalaysiaGazette















