Norliana (kanan) ditenangkan rakannya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka hari ini.

MELAKA – “Puas saya cuba halang, tapi suami pujuk cakap hendak cuba sekali sahaja naik motosikal dan tidak sangka rupanya itulah kali terakhir saya melihatnya,”.

Itu perasaan hiba diluahkan Norliana Mohd Ali, 31, isteri kepada mangsa kemalangan maut selepas motosikal ditunggangi terlanggar sebatang dahan pokok patah yang jatuh melintangi jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Kandang, di sini awal, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa Muhammad Fauzy Borhan, 33, disahkan maut ditempat kejadian akibat parah di muka manakala adiknya, Muhammad Naim, 30, yang menunggang sebuah lagi motosikal lain turut parah di kepala.

Norliana yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Muar berkata, arwah suaminya itu tiba-tiba berkeras mahu menunggang motosikal dari rumah mereka di Sebatu, Jasin untuk bertemu rakannya di Semabok, Melaka, malam tadi.

“Saya pelik sebab selama ini, dia dah lama tak bawa motosikal malah kalau hendak ke mana-mana pun biasanya memandu kereta namun arwah memberi alasan hanya sekali itu sahaja.

“Walaupun berat hati, saya terpaksa akur dengan kehendaknya dan tak sangka pula rupanya itulah permintaannya yang terakhir,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini, hari ini.

Menurut ibu tiga anak berusia lima tahun, dua tahun dan enam bulan itu, suaminya itu keluar bersama adiknya, Muhammad Naim yang datang dari Bakri sebelum berkonvoi menaiki motosikal berasingan kira-kira 8 malam ke Semabok.

“Arwah suami dan adiknya memang rapat malah mereka lima beradik selalu keluar bersama-sama melakukan kerja-kerja
kontraktor,” katanya menyeka air mata.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian Muhammad Fauzy dan adiknya masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dan Yamaha Y15 dalam perjalanan dari Semabok ke Muar, Johor.

Nahas dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal terbabit terlanggar dahan pokok yang patah dan jatuh melintangi Lebuh AMJ menyebabkan dua beradik itu tercampak ke hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast