KUALA LUMPUR – Saman untuk mencabar kesahihan Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya umum (PRU) lalu dalam usaha menyingkirkan beliau daripada kerusi sah Perdana Menteri merupakan tindakan yang tiada asas undang-undang untuk dibicarakan (non justiciable).
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, ini kerana apa-apa cabaran terhadap ketidaksahihan seseorang calon pilihan raya hendaklah dibuat melalui petisyen pilihan raya yang mana tempoh had masa telah berakhir iaitu 21 hari dari tarikh warta keputusan PRU.
Menurut beliau, mahkamah kini tiada bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut kerana peruntukan khusus undang-undang mengatasi undang-undang umum (generalia specialibus non derogant).
“Selain itu, pengampunan penuh telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar yang mana kemenangan beliau dalam PRK Port Dickson tidak langsung dicabar dan kekal sah.
“Menjadi prinsip undang-undang mantap (trite law) bahawa seseorang tidak boleh menyangkal apa yang dibuat terdahulu (the principle of approbate and reprobate),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, peguam P. Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.
Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil hari ini melalui Tetuan Karthig Shan dan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.
Sementara itu, Faiz yang juga peguam berkata, berkaitan isu pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pelantikan itu tidak boleh dicabar di mahkamah seperti mana diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
“Ini adalah pandangan undang-undang adil yang boleh saya berikan bagi meredakan kebimbangan orang ramai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memberikan fokus membantu Kerajaan Madani pimpinan Anwar untuk memulihkan ekonomi negara dan tidak dimanipulasi oleh pembangkang yang terdesak untuk mengganggu gugat kestabilan politik dengan menunggang isu tersebut.
“Saya yakin pada proses undang-undang yang adil untuk membicarakan saman tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
















