Peguam Muhammad Shafee Abdullah bercakap pada sidang media selepas mendengar keputusan rayuan Peguam Negara terhadap perintah Mahkamah Rayuan berkaitan semakan kehakiman mengenai titah adendum Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 OGOS 2025.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan berpendirian, titah adendum yang dipohon Datuk Seri Najib Razak dalam semakan kehakiman, perlu dibuktikan kesahannya di Mahkamah Tinggi meskipun ia wujud dan diterima masuk sebagai bukti baharu.

Hakim Datuk Zabariah Mohd. Yusof berkata, isu sama ada titah itu benar atau sebaliknya, perlu dipastikan dalam perbicaraan substantif melalui pengemukaan bukti dan fakta.

Beliau menyatakan demikian ketika membenarkan titah adendum diterima masuk sebagai bukti baharu di bawah Kaedah 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Sehubungan itu, beliau yang menganggotai panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Hanipah Farikullah.

Ketika membacakan keputusan itu selama satu jam 15 minit, Hakim Zabariah berkata, panel tersebut tidak berhasrat untuk mengesahkan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024, buat masa ini.

Malah beliau berpendirian, tidak wajar atau adil untuk panel itu melontarkan sebarang pandangan mengenai titah berkenaan.

“Pada peringkat ini, isu yang dipertikaikan memerlukan siasatan lanjut melalui pendengaran penuh secara kedua-dua belah pihak (inter-parte) di hadapan hakim baharu,” ujar beliau.

Hakim Zabariah selanjutnya menyatakan, Peguam Negara sendiri ketika sesi penghujahan mengaku kewujudan titah adendum.

Bagaimanapun panel itu menegaskan, titah adendum bukan sebahagian daripada perintah pengampunan manakala kewujudannya tidak secara automatik menjadikannya sah.

Terdahulu, mahkamah tertinggi negara menolak rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan mengembalikan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi, untuk perbicaraan.

Dengan keputusan itu, bekas Perdana Menteri berpeluang meneruskan permohonan itu di Mahkamah Tinggi dalam usaha mendapatkan perintah mandamus bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Dalam permohonannya, Najib mahukan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast