KUALA LUMPUR – Rentetan serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli pada Selasa, beliau mendedahkan isterinya menerima dua mesej berbaur ugutan, masing-masing jam 1.12 pagi dan 11.02 pagi tadi.
Beliau berkata, mesej ugutan itu daripada individu yang tidak dikenali itu antara lain menyatakan agar Rafizi sekeluarga mendiamkan diri daripada ancaman itu atau mereka berdepan dengan serangan sama dengan suntikan virus AIDS.
“Isteri saya menerima mesej ugutan yang ugutan yang pertama ialah pada jam 1.12 malam semalam di nombor telefonnya. Dari satu nombor telefon, mesejnya begini, diam andai teruskan AIDS. Dan (mesej) itu kami dah sampaikan kepada pihak polis.
“Mesej yang kedua ialah pagi ini pada pukul 11.02 pagi tadi, dihantar melalui WhatsApp. Mesej yang sama, diam andai teruskan AIDS.
“Kemudian emoji syringe, syringe, syringe (picagari) dan daripada nombor yang samalah,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Semalam, media melaporkan anak lelaki Ahli Parlimen Pandan itu diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira 1.45 tengah hari.
Menurut Rafizi, terdapat tiga kemungkinan kandungan cecair suntikan yang diberikan kepada anaknya sama ada dadah atau racun; virus seperti hepatitis atau HIV mahupun suntikan kosong berupa air.
“Sebab itu kita kena melalui proses ini untuk berapa-berapa bulan. Sekarang ini pemerhatian itu nampak okay. Maksudnya tidak ada nampak kesan-kesan segera.
“InsyaAllah saya rasa kita boleh keluarkan (bendasing). Ini hanya pandangan seorang bapa.
“Sekurang-kurangnya enam bulan anak saya kena melalui ujian darah dan ujian (kesihatan) penuh. Setiap enam minggu kemudian tiga bulan untuk kes kedua (virus).
“Jadi dari segi itu, saya nampak anak saya semakin pulih. Semangat dia pun kuat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Rafizi juga mengakui, selepas insiden itu, beliau dan keluarga terpaksa meningkatkan kawalan keselamatan.
“Kita perlu hidup dengan keselamatan yang lebih tinggi sementara waktu sehingga penilaian dan nasihat lanjut daripada pihak polis.
“Isteri saya tiada orang kenal. Saya tak pernah, jarang sangatlah saya muncul bersama dengan isteri saya atau anak saya.
“Cara ini supaya mereka boleh menjalani hidup seperti orang biasa, mereka boleh ke mana sahaja sebab orang tak kenal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















