KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah memandang remeh kepada isu pemberhentian lebih 5,000 kakitangan Petronas meskipun dilakukan atas alasan rasionalisasi atau langkah penstrukturan semula syarikat minyak nasional itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan susulan peralihan keberkesanan penggunaan teknologi baharu termasuk pendigitalan dan Kecerdasan Buatan (AI).
“Saya tidak kata perkara ini ringan, memang memprihatinkan. Saya sendiri pun berbincang dengan Presiden dan CEO Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berulang kali tentang menangani masalah ini.
“Alasan pertama, soalnya peralihan dari segi keberkesanan kerana menggunakan teknologi baru termasuk pendigitalan, AI. Ada pertindihan pekerja, tetapi dalam pembangunan itu tidak seperti mana kita dengar biasa.
“Umpamanya, dipastikan orang-orang yang mahu dihentikan secara berperingkat ini diserahkan kepada syarikat-syarikat yang ada,” katanya pada sesi soal jawab menteri dalam sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mengenai langkah langkah penstrukturan semula Petronas bakal menjejaskan lebih 5,000 kakitangan yang terpaksa diberhentikan.
Perdana Menteri menjelaskan, Petronas bukan satu-satunya syarikat minyak yang melakukan langkah tersebut bahkan semua pemain industri minyak melakukan perkara sama.
“British Petroleum mengumumkan pembuangan 6,200 pekerja menjelang akhir 2025; Chevron pula 8,000 hingga 9,000 pekerja yang diumumkan pada Februari tahun ini.
“Jadi bukan sesuatu yang asing dan ini termasuk semua syarikat minyak seperti Exxon Mobil, Shell, Aquino, ConocoPhillips, NSB.
“Soalnya Petronas masih mencatat keuntungan. Jadi oleh itu, mengapa dan apa kemunasabahannya untuk membuang pekerja-pekerja ini atau untuk menghentikan?
“Jadi ada kerjasama dengan GLC dan GLICs,” katanya.
Selain itu, kata Perdana Menteri, Petronas melakukan perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk beri latihan dalam bidang-bidang baharu kepada pekerja terjejas.
“Malah minima mereka mendapat jaminan gaji sepanjang tahun. Jadi dan beberapa terma lain sebab kemudahan perubatan dan sebagainya. Ia tidak dianggap sebagai pembuangan pekerja-pekerja biasa.
“Kemudahan-kemudahan masih diberikan kepada 5,000 kakitangan walaupun secara peringkat. Dimulakan dengan pekerja-pekerja kontrak terlebih dahulu, tamat kontrak kemudian dihentikan.
“Kemudian barulah dianggap fasa yang kedua dengan jaminan-jaminan tertentu, tentang kedudukan diri mereka dan keluarga mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















