Kapal hantu hanyut dipercayai kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili, Johor pada 7 Ogos lepas. Gambar : Maritim Malaysia Negeri Pahang

KUANTAN – Sebuah kapal hantu (unmanned vessel) yang hanyut di perairan Pelantar Semangkok A, Terengganu sejak 12 Ogos lalu berjaya dikawal dalam operasi bersepadu yang dikoordinasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, kapal terbabit kini dalam proses penundaan menuju ke Kemaman Supply Base (KSB) untuk tujuan penyelamatan.

Menurut Mazlan, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima laporan daripada MRSC Johor pada pukul 4.45 petang, 12 Ogos lepas mengenai pengesanan kapal hanyut kira-kira empat batu nautika timur pelantar berkenaan.

“Kapal itu hanyut melepasi kawasan pelantar minyak dan berisiko mengancam keselamatan pelantar lain di sekitarnya,” katanya.

Tambah beliau, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) berjaya merapat ke kapal pada pukul 6.58 petang semalam dan memasang tali tunda ke Kapal JM Purnama milik Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd (Jasa Merin) sebelum memulakan penundaan menuju KSB yang dijangka tiba esok.

Mazlan turut memaklumkan, sebaik tiba di KSB, pemeriksaan terperinci akan dilakukan termasuk siasatan identiti kapal serta aduan berhubung kemungkinan terdapat mangsa di dalamnya.

Maritim Malaysia memaklumkan operasi akan diteruskan sehingga kapal selamat diserahkan kepada pihak Jabatan Laut Malaysia.

Tambah beliau, operasi itu turut mendapat bantuan aset udara jenis Dauphin AS 365 N3 yang membawa STAR Team bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM), Malaysia Petroleum Management (MPM), PETRONAS, PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Vestigo Petroleum Sdn Bhd dan Jadestone Energy (Malaysia).

Katanya, kapal hantu yang hanyut itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden sebuah kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili pada 7 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast